Tuesday, February 15, 2011

ISU Terkini Dunia Pendidikan


Guru, pensyarah tak sama skim perkhidmatan


2011/02/15

MERUJUK kepada aduan oleh 'Bekas dekan fakulti pendidikan, Kuala Lumpur' dalam ruangan ini bertarikh 8 Februari lalu bertajuk 'Pensyarah IPTA DG45 wajar diberi gaji setaraf skim guru cemerlang'. 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpandangan bahawa isu yang dibangkitkan tidak wajar timbul kerana skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti (DS) dan skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Siswazah (DG) adalah dua skim perkhidmatan yang berbeza.
Gred DS45 adalah gred lantikan bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti, manakala gred DG44/48/52 adalah gred kenaikan pangkat bagi Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Siswazah.
Seseorang yang dilantik sebagai pensyarah universiti adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan pensyarah universiti. 

Sekiranya mereka mempunyai pengalaman bekerja sebelum dilantik ke skim perkhidmatan ini, perkara itu sudah pun diambil kira dalam penetapan gaji permulaan, seperti yang ditetapkan dalam peraturan lantikan, naik pangkat dan penamatan perkhidmatan (PU(A) 176) 2005. 

Skim perkhidmatan pensyarah universiti menetapkan kenaikan pangkat berdasarkan kecemerlangan akademik. Pensyarah yang memenuhi kriteria kecemerlangan akademik boleh dipertimbang dinaikkan pangkat dan menikmati gaji yang lebih tinggi. 

Dalam hubungan ini terpulanglah kepada pensyarah untuk meningkatkan kemajuan kerjaya mereka dengan berusaha memenuhi kriteria kecemerlangan akademik yang ditetapkan. 
Untuk jangka panjang, kemajuan kerjaya pensyarah universiti sebenarnya adalah lebih baik kerana berpeluang dinaikkan pangkat sehingga ke jawatan Gred Utama Turus dan Profesor Ulung sekiranya mereka mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi dan memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan. 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT, 
Kementerian Pengajian Tinggi.
 

sumber : Berita Harian

Komen saya : Saya teringin nak jadi pensyarah...tapi apabila mengenangkan tugasan yg teramat sibuk untuk pensyarah..saya lebih rela berada disekolah.tak tau la masa akan datang...anda pula?

0 comments: